Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) di Malaysia Kanak-kanak_istimewa

Sesungguhnya sebagai warga Malaysia, kita semua amat bertuah kerana kerajaan amat prihatin terhadap insan-insan istimewa dan kurang upaya. Ini terbukti dengan penubuhan sebuah kementerian khusus yang antara peranan dan tanggungjawabnya, adalah menjaga kebajikan golongan yang tidak bernasib baik, iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat. Di bawah kementerian inilah diwujudkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang amat peka dan sentiasa bersedia mendengar serta membantu dalam apa jua cara, untuk menjadikan golongan istimewa ini sebagai warganegara yang berguna.

Perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan ini meliputi kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, orang papa, keluarga, mangsa bencana, komuniti, dan juga skim bantuan kebajikan. Jabatan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan statistik jumlah Orang Kurang Upaya melalui pendaftaran yang dilakukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, dan Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Faedah

Antara faedah yang diperoleh apabila mendaftar dengan JKM adalah:

  • rawatan perubatan
  • khidmat pemulihan, rawatan lanjutan, dan latihan vokasional
  • pendidikan akademik di sekolah khas dan institusi tertentu
  • bantuan kewangan, peralatan tiruan, dan alat-alat kemudahan
  • pertimbangan Elaun Pekerja Kurang Upaya
  • pertimbangan jagaan dan perlindungan, didikan dan latihan di institusi JKM/NGO dalam program Pemulihan Dalam Komuniti(PDK)
  • peluang pekerjaan di sektor awam atau sektor swasta

Banyak faedahnya apabila golongan ini mendaftar dengan pihak JKM kerana daripada sinilah dapat difikirkan apa-apa jua bentuk bantuan yang diperlukan oleh mereka. Sekiranya, anda mengetahui mana-mana kanak-kanak istimewa di tempat anda yang belum mendaftar, bantulah mereka dengan mengunjungi pejabat JKM yang berhampiran.